Yayasan Permata Ummah (YPU) telah ditubuhkan secara rasmi pada 5 November 2021 oleh Yang Berhormat Dr. Ustaz Muhammad Khalil bin Abdul Hadi dan Yang Berhormat Tuan Mohd Syahir bin Che Sulaiman.
YPU mengambil tanggungjawab untuk menjalankan pemeliharaan legasi ilmu para ulama’ dan tokoh Islam untuk dimanfaatkan oleh masyarakat Islam di peringkat nasional dan antarabangsa.
Antara peranan utama YPU adalah menerbitkan Projek Tafsir Al-Tibyan (30 juzuk) dalam bahasa Melayu sebagai projek ulung dan istimewa kerana karya ini merupakan sebuah garapan khas yang diambil melalui Kuliah Pengajian Tafsir yang telah berjalan selama lebih 40 tahun oleh Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang.
Selain itu, YPU turut mengambil peranan dalam mewujudkan sebuah Pusat Arkib Permata Ummah dengan penubuhan Maktabah Permata Ummah, e-Maktabah Permata Ummah dan pengumpulan bahan-bahan arkib Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang sebagai seorang tokoh Ulama’ Negarawan.
YPU turut memberi tumpuan kepada aspek pendidikan seperti pembentukan pemikiran masyarakat Islam melalui program-program wacana keilmuan serta menjalankan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan kepada golongan yang memerlukan.
YPU akan terus mengorak langkah untuk memperkenalkan Geran Kajian Pendidikan & Tabung Biasiswa kepada pelajar yang cemerlang. Peranan ini akan sentiasa diperkemas agar masyarakat mendapat manfaat daripada usaha-usaha yang dijalankan oleh YPU.